Skip to content

Al-Azhar : Kebanggaan Para Azhari dan Umat Islam Seduni

14 November 2009

Nama Al-Azhar As-Syarif cukup terkenal bukan sahaja di Mesir, bahkan di seluruh dunia. Namanya sahaja cukup dihormati oleh seluruh umat Islam tidak kira apa jua aliran pemikiran, bahkan juga manusia-manusia yang memusuhi Islam. Dunia barat dan timur memberikan perhatian yang khusus kepada Al-Azhar berbanding pusat-pusat pengajian Islam yang lain. Amerika di dalam membawa misi meyakinkan dunia untuk tunduk kepada kepimpinan mereka sebagai kuasa terbesar juga datang membina hubungan dengan Al-Azhar dengan harapan umat Islam akan berlembut terhadapat mereka.

Al-Azhar As-Syarif

Di Mesir sahaja sebenarnya, terdapat pusat-pusat pengajian yang menawarkan sistem pengajian yang lebih baik dan tersusun berbanding Al-Azhar, contohnya Kuliah Darul ‘Ulum di Universiti Kaherah. Akan tetapi penjawat tertinggi dalam hirarki Al-Azhar diiktiraf Republik Arab Mesir setaraf Menteri Kabinet bahkan boleh jadi setaraf Perdana Menteri (sudah pasti tak setaraf Presiden).

Begitu juga pusat-pusat pengajian tinggi di negara-negara Arab dan dunia Islam lain seperti universiti-universiti di Maghribi, Syria, Madinah, Makkah, Jordan, Qatar dan lain-lain, bahkan UIA di Malaysia sendiri. Akan tetapi, nama Al-Azhar lebih dikenali dan disebut-sebut. Namanya sahaja lebih gah dari yang lain. Itu suatu hakikat yang terpaksa diterima, walaupun berbagai kontroversi melanda institusi ini. Kenapa Al-Azhar diberikan kemuliaan ini? Sesiapa sahaja akan melihat sejarah perjalanan Al-Azhar dan juga jasa-jasanya terhadap dunia Islam khususnya dalam melahirkan insan-insan yang ‘alim, soleh, sederhana dan mengesani masyarakat. Metodologi Al-Azhar sentiasa sederhana dan berprinsip, selagimana ia bebas dari campurtangan politikus. Manhaj pengajiannya sederhana, meraikan semua wajah pemikiran Islami, tetapi mencari wajah terbaik dalam setiap liku realiti alam.

Di sini anak-anak dakwah dan penuntut-penuntu ilmu datang dari semua ceruk dunia untuk menghirup madu-madu ilmu yang ada di dada-dada para guru-guru yang setia kepada dakwah Islam. Anda jika ke Al-Azhar, jangan merasa pelik jika merasakan dunia seolah-olah berkumpul di dalamnya. Di sini terdapat penuntut bukan sahaja rakyat Arab Mesir, bahkan dari Syria, Arab Saudi, Yaman dan lain-lain. Penuntut-penuntut juga datang dari Nusantara; Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina; dari India, Bangladesh dan Pakistan di wilayah-wilayah Lautan Hindi; dari Cina, Rusia, Kazakhstan, Turkmenistan, Tajikistan dan lain-lain dari Asia Tengah; dari Afrika seperti Comoroes, Afrika Selatan, Nigeria, Madagascar dan Algeria; dari Eropah dan sekitarnya seperti Albania, Turki, Britain, Perancis, Jerman, Kosova dan Chechnya; tak ketinggalan juga dari Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.

Saya melihat realiti ini dengan suatu keyakinan tersendiri. Walau lemah sistemnya, dan diburuk-burukkan beberapa pihak, saya merasakan bahawa Al-Azhar sebenarnya sejak berkurun-kurun lamanya telah menjadi benteng rasmi dan kubu pertahanan kepada agama Islam itu sendiri. Oleh kerana itulah, jika berlaku kelesuan dan kelemahan Al-Azhar, ia menjadi mimpi indah yang mengulit tidur musuh-musuh Islam, dan menjadi keringat, peluh dan darah pejuang kebangkitan Islam mengangkat kembali kemuliaan Al-Azhar. Perkara ini turut ditegaskan sendiri oleh mujaddid kurun ini iaitu, Iman Syahid Hasan Al-Banna.

Sejak zaman beliau lagi, kelesuan para ulama’ di dalam memimpin arus kebangkitan ummah sudah berlaku. Perkara ini tercatat di dalam sejarah hidup beliau, perhatian khusus terhadap institusi Al-Azhar telah bermula sejak jemaah Ikhwan Muslimin masih di peringkat awal penubuhan dan pembinaan. Al-Banna melihat Ikhwan Muslimin sebagai pertubuhan yang bekerja untuk ummah, sedang Al-Azhar merupakan badan rasmi tertinggi di medan amal Islami.

Di dalam suatu tulisan, beliau menegaskan tentang perkara ini.  “Ketahuilah bahawa Al-Azhar merupakan antara harapan umat Islam ini yang masih bertahan. Ia merupakan refleksi kepada Islam itu sendiri. Sejarah silamnya, pencapaiannya pada hari ini dan warisannya telah menjadikannya begitu. Maka, kehebatan Al-Azhar adalah kehebatan Islam,  apa yang didapati darinya adalah dari Islam. Oleh itu, pendirian Ikhwan Muslimin adalah komitmen untuk mempertahankan ketinggian dan kemuliannya. Semua kerja-kerja keras dalam rangka memuliakan, usaha mengangkat martabat dan mendukungnya dari segenap aspek adalah khidmat kepada Islam dan umatnya.”

Bahkan, semasa menjadi masih mahasiswa di Kuliah Darul ‘Ulum, Universiti Kaherah dan berperanan sebagai pendakwah bebas (bahasa orang Malaysia), ketika masih belum tertubuhnya jemaah Ikhwan Muslimin, Al-Banna telah mula mendekati dan bermuzakarah dengan ulama’ Al-Azhar. Di antaranya dialog yang masyhur di antara Al-Banna dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi, seorang ‘alim dan tokoh Al-Azhar yang terbilang ketika itu. Syeikh Ad-Dijwi sangat dihormati oleh masyarakat, tokoh-tokoh dan alim ulama’ ketika itu.

Syeikh Yusuf Ad-Dijwi

Di dalam suatu ziarah ke rumah Syeikh Ad-Dijwi, Al-Banna telah mengadu kerisauannya tentang pesatnya gerakan Kristianisasi di Mesir. Sekolah-sekolah dan hospital-hospital dibina dengan tujuan menyampaikan dakyah Kristianisasi kepada masyarakat Islam di Mesir. Al-Banna dalam perbicaraannya mengutarakan cadangan-cadangan yang pro-aktif bagi melawan arus perkembangan dakyah tersebut. Ironinya, jawapan Syeikh Ad-Dijwi ketika itu adalah nasihat kepada Al-Banna supaya melupakan sahaja perkara tersebut, menumpukan kepada amal ibadah sendiri dan berdoa semoga terselamat dari bencana tersebut. Dengan serangkap sya’ir, Syeikh Dijwi dendangkan kepada anak muda tersebut kesimpulannya.

وما أبالي إذا نفسي تطاوعني * على النجاة بمَن قد مات أو هلكا

“Apa yang ku bimbangi, bilakah diriku melayakkanku selamat, sedangkan yang lain telah mati atau terbinasa.”

Memetik ayat al-Qur’an dari surah Al-Baqarah, “Allah tidak membebankan seseorang hamba melainkan pada kadar kemampuannya.” [ayat 256], Syeikh Ad-Dijwi menasihati Al-Banna agar berusaha sekadar kemampuannya sahaja.

Al-Banna menerima nasihat-nasihat dan maklum balas Syeikh Ad-Dijwi tanpa rasa terkejut. Dengan tegas beliau menjawab, “Sesungguhnya saya benar-benar tidak bersetuju dengan apa yang Tuan katakan. Saya sangat yakin bahawa keadaan ini tidak menuntut kita untuk bersikap lemah, duduk dari beramal, dan lari dari segala kepenatan. Apa yang menyebabkan kamu semua takut? Adakah kerana kerajaan ataupun Al-Azhar sendiri?  Cukuplah dengan kehidupan kamu dan duduk diam di rumah selama ini. Bekerjalah untuk Islam. Sedarlah bahawa sebenarnya bangsa ini semua akan bersama kamu jika kamu membimbing mereka. Kerana mereka adalah bangsa Muslim. Aku mengenali mereka di kedai-kedai kopi, di masjid-masjid dan di jalanan, dan aku melihat mereka ketandusan dari iman. Akan tetapi kekuatan para atheis, liberalis, akhbar-akhbar dan majalah-majalah mereka tidak akan bangkit melainkan di atas kelalaian kamu. Jika kamu sedar, kamu sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap mereka.

“Wahai ustaz, jika kamu semua tidak ingin bekerja untuk Allah, sekurang-kurangnya bekerjalah untuk dunia dan roti-roti yang kamu makan. Seandainya Islam hilang dari umat ini, akan hilanglah Al-Azhar dan hilanglah para ulama’nya. Akhirnya kamu tidak akan dapati apa-apa untuk dimakan dan dibelanjakan. Jadi, pertahankanlah diri kamu jika kamu tidak mampu pertahankan Islam. Bekerjalah untuk dunia jika kamu tidak mahu bekerja untuk Akhirat. Jika tidak, kamu akan selama-lamanya kehilangan kedua-duanya, dunia dan Akhirat.”

Anak-anak murid Syeikh Ad-Dijwi yang turut berada di situ terkejut mendengar kata-kata ini. Sebahagian mula marah kepada Al-Banna dan menganggap anak muda ini tidak pandai berbahasa dengan seorang yang ‘alim seperti Syeikh Ad-Dijwi, sekaligus menghina Al-Azhar. Sebahagian lagi berpendapat, Al-Banna hanya mahu menghimpunkan ulama’ dan membangkitkan mereka supaya bekerja untuk memenangkan Islam. Sedangkan Syeikh Ad-Dijwi masih mendiamkan diri. Keadaan ini menjadi buntu sehingga kedua-duanya perlu berangkat menghadiri jemputan di rumah salah seorang masyayikh yang lain.

Di rumah tersebut, Al-Banna masih tidak berputus asa dan terus cuba untuk duduk di samping Syeikh Ad-Dijwi. Dan setiap kali berpeluang, Al-Banna akan terus mengulangi bicaranya kepada Syeikh dan cuba meyakinkannya. Akan tetapi, jawapan Syeikh Ad-Dijwi hanyalah dengan menghulurkan kuih manisan yang ada dan janji-janji  untuk mempertimbangkan perkara tersebut.

Al-Banna sekali lagi dengan tegas membidas jawapan tersebut, “ Subhanallah, wahai Ustaz. Urusan ini tidak perlu kepada pertimbangan Tuan, lebih dari itu ia menuntut amal. Kalaulah keinginan dan kerisauan saya ini boleh dipindah-pindah, bolehlah saya jualkannya dengan harga satu sen. Jadi bolehlah saya duduk sahaja di rumah tanpa perlu bersusah menziarahi anda.

Tuan, sesungguhnya Islam bertarung dalam perjuangan yang perit dan payah ini. Para pemuda, pejuang dan imam-imam Muslimin mengorbankan masa-masa mereka untuk tenggelam di dalam kenikmatan ini! Adakah kamu semua mengira Allah tidak akan menghisab kamu atas apa yang kamu lakukan ini?! Sekarang, andai kamu tahu Islam mempunyai para imam dan pejuang selain kamu, tunjukkan padaku, biar aku pergi kepada mereka sahaja.”

Semua yang mendengar menjadi kelu. Mata Syeikh yang mulia mula basah dan bergenang dengan  air mata. Ramai yang turut menangis melihat apa yang berlaku.

Dengan tangisan yang masih teresak-esak akhirnya Syeikh ad-Dijwi mula bertanya, “Jadi, apa yang harus aku lakukan sekarang?” Dengan tenang Al-Banna menjawab, “Aku minta Tuan senaraikan nama-nama yang pada mereka ada tanda-tanda keperihatinan terhadap agamanya sehingga mampu memikirkan apa yang harus mereka lakukan untuk Islam. Mungkin terlibat dalam penerbitan majalah yang membongkar usaha-usaha menyeru kepada Atheisme, atau usaha membentuk persatuan-persatuan yang mampu menghimpunkan para pemuda dan menyampaikan mesej-mesej agama Islam kepada masyarakat.”

Syeikh lantas bersetuju, kemudian menyenaraikan nama-nama ulama’ dan pemuka-pemuka masyarakat sehingga lahirlah hasil-hasil yang cemerlang dari usaha mereka. Antaranya penerbitan majalah Islami ‘Al-Fath’, yang dipimpin Syeikh Abdul Baqi Surur, dan pengurus penerbitannya As-Sayyid Muhibuddin Al-Khatib.

Muhibuddin Al-Khatib

Syeikh ‘Ali Tantawi RahimahulLah mengatakan bahawa Majalah ‘Al-Fath” merupakan majalah Islami terbaik pada zamannya.

Advertisements
One Comment leave one →
  1. 15 November 2009 9:40 pm

    salam pok man….

    cite2 mcm ni yang sebenarnya susah nak dapat… klu dapat pon dalam bahasa arab….
    so klu ade lagi…rajin2 laa post ekk….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: